Blogger news

[ KALAM PIMPINAN: HOW TO SUCCEED ]



[ KALAM PIMPINAN: HOW TO SUCCEED ]

Segala puji dan syukur dipanjatkan  ke hadrat Ilahi, tuhan yang maha berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dengan cahaya petunjukNya mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah bersusah payah membawa risalah agama tercinta ini. Tanpa kesungguhan dan kesabaran baginda, sudah tentu kita tidak dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Firman Allah SWT :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣}وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥}

Maksudnya:-
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman ☆ Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya ☆ Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia ☆ Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)☆Dan mereka yang menjaga kehormatannya☆

[Surah al- Mukminun: ayat 1 - 5]

Pertamanya, marilah kita meneliti beberapa kalimah arab yang menunjukkan kepada makna 'berjaya':-

1. النجاح: Berjaya Dunia
2. الفوز: Berjaya Akhirat
3. الفلاح: Berjaya Dunia Akhirat

Maka jelaslah di sini kebanyakan istilah arab yang digunakan dalam al-Quran merujuk kepada berjayanya seseorang itu di dunia dan akhirat iaitu merujuk kepada 'المفلحون'.

Seterusnya, ayat di atas menunjukkan antara beberapa ciri golongan yang berjaya disebutkan dalam al-Quran. Pertamanya merujuk kepada mereka yang menjaga kualiti solat. Solat merupakan tiang agama dan antara ibadah asas dan penting yang perlu dijaga oleh setiap manusia yang mukallaf. Antara aspek penting yang perlu dikecapi bagi orang yang menunaikan solat ialah khusyuk dan inilah yang menjamin kualiti solat tersebut. Sifat lalai adalah lawan bagi khusyuk dan Allah mencela mereka yang lalai dalam mengerjakan solat sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Ma'un ayat 4-5:

وَيْلُ لِّلْمُصَلِّيْنَ﴿٤﴾ الذين هم عن صلاتهم ساهون﴿٥}

"Celakalah bagi mereka yang menunaikan solat ☆ Mereka yang menunaikan solat dalam keadaan lalai dan leka kepada Allah SWT"☆

Ciri kedua yang disebut di dalam ayat ialah mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia- sia. Hakikat hukum orang Islam yang melakukan perkara yang sia-sia baik perkataan mahupun perbuatan adalah makruh tetapi bagi mereka yang berjaya, tiadanya unsur-unsur daripada sifat tersebut.

Ciri ketiga bagi orang yang berjaya ialah membayar zakat. Zakat merupakan sedekah yang diwajibkan ke atas umat Islam dengan kadar yang tertentu bertujuan untuk menyucikan harta sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ☆

Maksudnya: "Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketentraman jiwa bagi mereka. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui".

Ciri yang terakhir disebutkan dalam ayat di atas ialah orang yang menjaga maruah/kemaluan mereka. Ciri ini semakin lama semakin terhakis terhadap masyarakat kita pada zaman kini terutama bagi mereka yang sudah kehilangan sifat malu. Contoh yang jelas adalah dari segi pemakaian di mana aspek aurat dianak tirikan kerana wujudnya pelbagai fesyen akhir zaman yang bercanggah dengan pemakaian bersyariat. Jadi menjadi kewajipan kepada kita sebagai umat Islam untuk bersama-sama menegur dan membantu sahabat-sahabiah yang terjebak ke dalam gejala sosial tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT:

 "وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ"

"Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan persengketaan".
           
[Surah Al-Ma'ida ayat 2]

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari, kita sudah pun memasuki fasa imtihan. Ketika ini, masing-masing sibuk menelaah kitab-kitab kuliah dan bahan rujukan lain sebagai persediaan menempuh imtihan sehingga merasakan bahawa masa yang diperuntukkan selama 24 jam tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan dalam Imtihan tetapi jangan dilupakan ciri-ciri kejayaan yang sebenar yang disebutkan dalam al-Quran. Sesungguhnya kewajipan kita melebihi masa yang ada. Ramai manusia tewas disebabkan gagal memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya.

Selain itu, hubungan dengan Allah Taala (حبل من الله) serta sesama manusia (حبل من الناس) adalah dua aspek yang sangat penting dimana perlulah dipelihara dengan baik. Marilah kita mewujudkan suasana biah solehah seperti melazimi solat berjemaah, tegur -menegur, ziarah-menziarahi, dan sebagainya agar dapat menguatkan lagi ikatan ukhuwah yang telah terbina. Hilangkanlah segala sengketa dan permusuhan kerana kita semua adalah bersaudara.

Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kejayaan. Lakukanlah yang terbaik dalam peperiksaan supaya kejayaan yang bakal kita kecapi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Sesungguhnya keberkatan dalam menuntut ilmu dapat dilihat setelah kita mempraktikkan ilmu yang dimiliki walaupun sedikit.


Imam al-Ghazali pernah berkata:


“Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia”.

Selamat melayari bahtera imtihan…


"Memurnikan Pemikiran,  Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


Disediakan oleh:
Muhammad Shafie bin Abdul Halim,
Timbalan Yang Dipertua BKAWM sesi 2017/2018


[ TARIKH PENANGGUHAN PROGRAM BKAWM ]




[ TARIKH PENANGGUHAN PROGRAM BKAWM ]

18 APRIL 2018: TARIKH PENANGGUHAN PROGRAM BKAWM

Pendidikan merupakan aspek penting yang dititikberatkan oleh BKAWM terhadap ahlinya sejajar dengan misi BKAWM yang pertama iaitu “Meningkatkan penguasaan thaqafah dan pencapaian akademik”. Hal ini sekaligus menunjukkan keperihatinan BKAWM dalam melahirkan mahasiswa Islam yang terkehadapan dalam bidang akademik dan thaqafah.

Peperiksaan semester kedua khususnya di Universiti al-Azhar sesi 2017/2018 akan bermula pada bulan Mei 2018. Sehubungan dengan itu, peringkat Lajnah Perancang Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2017/2018 telah menetapkan bahawasanya tarikh penangguhan program adalah pada 18 April 2018.

Oleh itu, segala aktiviti dan program yang melibatkan semua ahli ditangguhkan sementara waktu. Hanya aktiviti yang berbentuk akademik, thaqafah dan kerohanian serta yang berkaitan dengan pendidikan sahaja yang diadakan bagi membantu kecemerlangan seluruh mahasiswa dan mahasiswi Islam di bumi Mesir.

Pihak BKAWM mengharapkan agar seluruh mahasiswa Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini dapat memanfaatkan masa dan ruang waktu yang ada ini dengan sebaik mungkin bagi melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak.

Muhammad Shafie bin Abdul Halim,
Timbalan Yang Dipertua,
Merangkap Ketua Lajnah Perancang,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
BKAWM Sesi 2017/2018.

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

[ TINTA DAKWAH: SUDAHKAH KITA BERTAQWA? ]


Sudahkah Kita Bertaqwa?
Taqwa menurut al-Quran:
Dalam kitab Minhaj al-Abidin, Imam Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut al-Quran iaitu:
1)   Taat
2)   Takut
3)   Membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Siapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta bertaqwa kepadaNya maka mereka ialah orang yang beruntung." (Surah an-Nur:52)
Taqwa dari segi bahasa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian:
Pertama, taqwa fardu iaitu istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, taqwa adab iaitu menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari kiamat kelak.
Orang yang bertaqwa akan sentiasa memelihara semua batas dan hukum-hukum agama. Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya dan Allahlah sebaikbaik Pemelihara.
Soalnya sekarang, adakah kita telah dipelihara oleh Allah? Jawapannya bergantung pada sejauh mana kita telah memelihara hukum-hakam, batasan dan segala kehendak Allah. Jelas sekali tahap ketaqwaan kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Hasilnya, hingga kini kita belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Jalan untuk mencapai taqwa itu bermula dengan beberapa langkah yang bersinambungan. Antara langkah-langkah itu ialah:
1-      Menuntut ilmu dan beramal dengannya
2-      Mujahadah dan istiqamah
3-      Bertaubat dan melakukan kebaikan
Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa dalam al-Quran, antaranya:
1-  Beriman dengan perkara-perkara ghaib
2-  Menafkahkan sebahagian rezeki
3-  Memandang kehidupan akhirat yang kekal dan hakiki berbanding dunia
Antara kelebihan taqwa yang dipetik daripada al-Quran:
1-  Mendapat bantuan dan perlindungan. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya)." (Surah al-Jathiyah 45:19)
2-  Penyelesaian masalah dan rezeki Firman Allah SWT:
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpahlimpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A’raf 7:96)
3-  Diterima amalan. Firman Allah SWT:
"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang -orang yang bertaqwa." (Surah al-Maidah 5:27)
Kesimpulannya, hanya orang yang dicelikkan mata hatinya dengan taufiq dan hidayah sahaja akan memburu taqwa. Hati orang yang bertaqwa akan dipenuhi dengan rasa malu, cinta, takut, kagum, harap dan rasa hina dengan Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahawasanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Surah al-Anfal 8:2)
Disediakan Oleh:
Natasya Amirah binti Abdul Jalil,
Timbalan Unit Surau,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2017/2018.

Blogroll

Loading...